Kesihatan Mental dan Kesejahteraan Fizikal


PEPATAH Arab ada mengatakan al aql salim fil jismi salim, atau aqal yang sihat terletak pada badan yang sihat. Ia menerangkan betapa pentingnya kesihatan fizikal dalam mewujudkan kewarasan akal dan kesihatan pemikiran. Manakala ungkapan Inggeris pula mengatakan there is no health without mental health.

Ungkapan ini pula melihat bahawa kesihatan yang menyeluruh itu tidak akan menjadi lengkap jika kesihatan mental terabai. Semua ini menyimpulkan kepada kita bahawa kesihatan fizikal dan mental adalah berhubung kait dan tidak boleh dipisahkan.

Sememangnya tidak wujud sama sekali erti kehidupan yang benar-benar sihat jika kesejahteraan mental itu diabaikan. Kesejahteraan mental, kestabilan emosi, kemantapan sahsiah dan personaliti, kecergasan fizikal, serta perhubungan sosial yang positif amatlah penting untuk menjalani kehidupan yang benar-benar sihat.

Fenomena ini secara logiknya adalah sejajar dengan definisi kesihatan seperti mana yang dinyatakan oleh World Health Organization atau WHO, iaitu health is a state of complete physical, mental and social well being and not merely the absence of disease or infirmity.

Definisi ini sebenarnya memberitahu kepada kita bahawa untuk menjadi seorang individu yang sihat, kita perlulah sihat dan sejahtera dari segi mental dan fizikal. Kesihatan mental memerlukan kita untuk memiliki pandangan dan sikap yang positif dan proaktif terhadap diri sendiri dan orang lain serta dalam perhubungan kita dengan mereka, di samping memiliki sikap yang positif terhadap persekitaran kita.

Keupayaan untuk bekerjasama dengan orang lain secara sihat dan mampu mengharungi sebarang cabaran kehidupan secara berkhemah amat perlu demi kestabilan mental.

Jika definisi oleh WHO ini menggambarkan pengertian terhadap kesihatan yang juga meliputi kesihatan mental, maka penyakit mental pula digambarkan sebagai sebaliknya. Iaitu sebarang sindrom mental, emosi atau tingkahlaku, yang amat mengganggu dan mendatangkan ketidakupayaan kepada individu itu untuk berfungsi secara sepatutnya dan memerlukan rawatan.

Untuk mencapai atau memiliki tahap kesihatan mental yang sempurna bukanlah sesuatu yang sukar, namun kesan kegagalan dalam mencapai atau melaksanakan sesuatu yang mudah adalah lebih sukar kerana ia akan mengakibatkan lebih banyak keburukan dari kebaikan.

Setiap individu mempunyai cara tersendiri bagi menyelesaikan masalah kehidupan yang dihadapi. Namun tidak semua di antara mereka yang tahu cara yang terbaik dan proaktif dalam menanganinya.

Walaupun hanya segelintir yang menghadapi kepayahan seperti ini, namun langkah-langkah kesedaran perlu dilakukan untuk mereka agar kaedah yang diambil tidak menjurus kepada kemusnahan dan tingkah laku berisiko tinggi serta berbahaya.

Kita tidak mahu ada anggota masyarakat yang menggunakan pendekatan sendiri seperti mengambil dadah, meminum arak, merokok, menganjurkan seks bebas, atau membunuh diri bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Kesan penyakit mental sebenarnya lebih banyak mendatangkan keburukan dan bebanan kepada kita semua dalam pelbagai aspek kehidupan, khusus terhadap pesakit, keluarga mereka, majikan, kehilangan produktiviti dan pendapatan, seterusnya menjejaskan ekonomi negara dan sistem penjagaan kesihatan.

Memang sudah dimaklumi bahawa penyakit mental, tekanan emosi dan gangguan tingkah laku turut mendatangkan pelbagai kesengsaraan dan ketidakupayaan lain. Ia bukan sahaja menjejaskan produktiviti, tetapi juga kesannya yang negatif terhadap keperibadian dan perhubungan sosial, malah boleh membawa kepada pelbagai penyakit mental dan fizikal lain serta ada yang berakhir dengan kematian.

Wujud banyak kajian yang mendapati pertalian rapat di antara penyakit mental seperti kemurungan dengan penyakit berkaitan jantung seperti penyakit jantung kardiovaskular, koronari, strok dan sebagainya.

Pesakit kemurungan dan skizofrenia juga berisiko untuk menghidapi penyakit diabetes dan obesiti. Manakala penghidap penyakit kebimbangan (anxiety) turut terdedah menghidapi penyakit jantung koronari, strok dan kematian otot-otot jantung (myocardial infarction).

Penyakit berkaitan gangguan sistem pernafasan seperti asma dan COPD (chronic obstructive pulmonary disease) juga dialami oleh pesakit kemurungan, pesakit panik dan pesakit kebimbangan umum (generalized anxiety). Di kalangan pesakit gangguan kebimbangan (anxiety disorders), mereka turut didapati lebih berisiko untuk menghidapi penyakit kronik lain yang berkaitan dengan sistem penghadaman.

Kajian telah mendapati pesakit gangguan panik dan kebimbangan umum lebih tinggi menghidapi masalah yang dikenali sebagai irritable bowel syndrome atau IBS, satu masalah kronik berkaitan sistem penghadaman dan pembuangan najis.

Hasil Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2006, Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan trend peningkatan kes gangguan mental dan tingkah laku sebanyak 6 peratus di kalangan masyarakat berbanding kajian yang sama pada 1996.

Masalah kesihatan mental golongan dewasa meningkat kepada 11.2 peratus berbanding 10.7 peratus. Manakala golongan kanak-kanak dan remaja, ia meningkat dari 13 peratus kepada 20. 3 peratus. Kajian ini turut menyaksikan seramai 3 juta daripada 26 juta rakyat mengalami masalah kesihatan mental.

Manakala antara 20 hingga 30 orang dari setiap 100,000 rakyat akan membunuh diri setiap tahun. Peningkatan turut dilihat dalam trend mendapatkan rawatan masalah mental di hospital-hospital kerajaan.

Pada tahun 2008, seramai 400, 227 pesakit mendapatkan rawatan psikiatri di hospital-hospital kerajaan berbanding 346, 196 pesakit pada tahun 2007. Menjelang tahun 2030, WHO menganggarkan penyakit kemurungan (depression) merupakan punca utama bebanan yang mengakibatkan ketidakupayaan, selepas bebanan akibat penyakit AIDS dan jangkitan HIV.

Menurut Persekutuan Psikologi dan Kesihatan Mental ASEAN pula, negara ini akan mengalami penjejasan ekonomi dan produktiviti sehingga RM1 bilion akibat penyakit mental yang tidak terkawal. Selepas memahami hubung kait antara penyakit mental dengan penyakit kronik fizikal, sudah pasti sebarang peningkatan kes gangguan mental akan juga mendatangkan peningkatan beban yang teruk kepada kesejahteraan fizikal. Bagi menghindari perkara ini, sebarang bentuk gangguan mental atau perkara yang menjurus kepadanya wajar dicegah dari awal lagi.

Penulis ialah Fellow Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
- Utusan Malaysia 19/11/10 -

Comments

Popular posts from this blog

KHASIAT & MANFAAT ROYAL GAMAT LIQUID TRADISEA

GAMAT PAKAR MERAWAT GASTRIK @ GERD

Awas ! 5 Bahagian Ayam Bahaya